|
Assalaamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia
Syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinnya SMK Tanjung Pengelih telah mengorak langkah ke hadapan dengan mempunyai sebuah laman web yang menyediakan pelbagai imformasi untuk seluruh warga sekolah. Sesungguhnya dalam zaman teknologi digital ini, penguasaan ICT sangat-sangat diperlukan jika seseorang itu ingin terus bersaing dan maju dalam apa jua bidang yang diceburi.
Oleh itu saya menyeru warga sekolah untuk menggunakan laman web ini sebagai satu cara memajukan diri dalam dunia ICT bagi menghadapi era informasi teknologi agar dapat mencapai tahap teknologi pendidikan berkualiti. Warga SMKTP akan dapat mengetahui dengan jelas dan tepat setiap maklumat dan aktiviti sekolah yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan. Semoga perkongsian maklumat ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama warga sekolah dan ahli masyarakat ke arah membina dan memperkasakan program pendidikan di sekolah ini.
Saya berharap usaha mengemaskini Laman Web SMKTP ini adalah berterusan dan ianya dapat dijadikan sebagai satu tapak yang mudah, cepat dan tepat untuk pelajar, guru, ibu bapa dan pihak lain mendapatkan maklumat berkenaan SMK Tanjung Pengelih. Teruskanlah usaha positif ini agar dapat membentuk budaya yang memberangsangkan ke arah mencapai Visi dan Misi sekolah. Visi sekolah iaitu ‘Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang’ dan Misi sekolah iaitu ’Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti’ pasti tercapai.
Dengan kesempatan ini, saya dan seluruh warga sekolah mengucapkan syabas dan tahniah kepada 'Team Laman Web' SMK Tanjung Pengelih atas usaha dan inisiatif mereka sehingga berjaya membentuk Laman Web sekolah ini. Sesungguhnya kesungguhan dan penat lelah mereka telah membuahkan satu hasilan yang terbaik yang dapat dimanafaatkan penggunaannya oleh seluruh warga sekolah.
Teruskan perjuangan dan usaha dengan penuh ikhlas, jujur dan yakin. Insya-Allah usaha kita akan mendapat kerahmatan dan keberkatan dari Allah S.W.T Sekian, terima kasih.
Hjh Noraaini Binti Hashim
Pengetua
SMK Tanjung Pengelih 81600 Pengerang Johor

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Segala puji-pujian bagi Allah Subhanahuwata’ala dan selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W ahli keluarga serta sahabat handai baginda.
Syukur, Alhamdulillah ke hadrat Allah Yang Maha Esa kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, menjelang fajar 2010, usia masih dilanjutkan dan diberi kekuatan untuk terus memimpin SMK Tanjung Pengelih ini. Kepada semua warga SMK Tanjung Pengelih didoakan semoga tahun 2010 ini akan terus dilimpahi oleh Allah S.W.T dengan kerahmatan, kesejahteraan dan kemakmuran. Setapak melangkah ke tahun 2010 bermakna semua staf sokongan dan guru-guru telah bertambah matang dalam meneruskan tugas untuk membangun, memaju dan memakmurkan SMK Tanjung Pengelih ini.
Malah dengan keizinan-Nya maka terbinalah sebuah laman web rasmi SMK Tanjung Pengelih. Dalam keghairahan kita berbicara mengenai teknologi maklumat dan komunikasi, sudah tentu kita tidak mahu ketinggalan dalam era globalisasi ini. Malah hampir saya nak bersara barulah terbina laman web ini. Apapun tahniah kepada admin di atas pengorbanan beliau menyiapkan web ini.
Justeru itu, usaha membangunkan laman web ini diharap dapat menyalurkan informasi terkini berkaitan sekolah kepada para pengunjung dengan cepat. Saya amat mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk berinteraksi, berkongsi idea dan bertukar-tukar pandangan serta cadangan untuk memajukan lagi SMK Tanjung Pengelih.
Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, ‘Kecemerlangan’ SMKTP masih menjadi fokus utama kita bagi tahun 2010 ini. Oleh itu diharapkan atas nama keIkhlasan semua guru dan Staf sokongan, sekata sepakat untuk terus terus gigih berusaha mencapai matlamat ‘KECEMERLANGAN’ dalam semua bidang kurikulum, kokurikulum dan pengurusan dan pentadbiran sekolah.
Di samping itu, untuk lebih memantapkan lagi usaha mengejar kecemerlangan , bidang kerohanian dan sahsiah pelajar diberi perhatian yang khusus demi melahirkan generasi yang murni jasmani dan rohaninya. Semai dan pupuk dalam jiwa kita untuk menjadi pendidik yang tegar, kreatif, inovatif dan berhemah. Walaupun berbagai kejayaan telah diraih pada tahun-tahun sebelumnya, usaha penambah baikan perlu diteruskan. Berpegang kepada konsep bahawa hari ini akan lebih baik dari semalam dan hari akan datang lebih baik dari hari ini dan seterusnya.
Walau bagaimanapun, kita perlu ingat dan sedar bahawa secara bersendirian , kita tidak akan meraih kejayaan. Ambillah iktibar seberkas penyapu lidi yang dapat menyapu dan membersihkan lantai dengan bersih tetapi sebaliknya bagi sebatang lidi. Oleh itu setiap individu mesti sedar dan faham tentang tanggungjawab masing-masing, sentiasa bekerjasama, kreatif dan inovatif dan ingatlah kita bekerja kerana Allah. Jauhi sikap “Pahat dengan pemukul” dan janganlah jadi “Enau dalam belukar” yang sentiasa berlumba-lumba untuk melepaskan pucuk masing-masing. Ikutlah resmi lebah dan semut bekerja. Saya amat berkeyakinan, semua pendidik dan kakitangan di SMKTP berjiwa murni. Oleh itu, sama-samalah kita menggembeling tenaga demi KECEMERLANGAN SMKTP untuk mencapai Matlamat Sekolah pencapaian ‘Top 5 “ di daerah Kota Tinggi pada tahun 2010 ini
Secara peribadi SMKTP meninggalkan Nostalgia paling manis swepanjang perkhidmatan sebagai penjawat awam. Semangat berpasukan dan pakatan semua warga SMKTP menjadikan ia Kenangan Abadi yang tidak Mungkin dilupakan selepas bersara pada 5 Februari Tahun 2010 ini.
Teruskan Perjuangan dan usaha dengan penuh ikhlas, jujur dan yakin. Insya-Allah usaha kita akan mendapat kerahmatan dan keberkatan dari Allah S.W.T..
’TERIMA KASIH CIKGU’
’BERKHIDMAT UNTUK AGAMA BANGSA DAN NEGARA KERANA ALLAH SWT’
Sekian, terima kasih.
En Aswan Bin Pardi
Mantan Pengetua
SMK Tanjung Pengelih 81600 Pengerang Johor

|